Senin, 16 Desember 2013
Hajat Akhir Ahmad Busu Jumpa Keluarga di Perak Tertunai

Anak kedua Allahyarham, Mohd Afiq Ahmad Busu, 28, berkata, Allahyarham meminta untuk bertemu dengan saudara terdekat mereka yang masih tinggal di negeri tersebut pada minggu lalu.
"Pemergian ayah memang tidak dijangka, dia seperti biasa sahaja dan tiada pula menunjukkan apa-apa sikap lain.
"Namun pada minggu lalu dia ada meminta kami untuk membawanya ke Perak untuk bertemu dengan keluarga dan saudara mara kami yang masih lagi berada di sana, " ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambahnya, Allahyarham turut memberi pesanan terakhir kepadanya dan adik beradik yang lain agar sentiasa menjaga ibadah dan tidak meninggalkan solat.
Sementara itu, jelas Afiq, Allahyarham dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini sejam sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat angin ahmar.
"Ayah tidak menghidap apa-apa penyakit sebelum ini, dia hanya demam biasa pada Sabtu lalu dan kami bawanya ke hospital semalam (Ahad) selepas keadaan demam yang semakin teruk dan kesukaran bernafas.
"Sebelum ini, pada tahun 2009 dia pernah dimasukkan ke hospital akibat diserang strok," ujarnya.
Jenazah disembahyangkan di Surau Seri Andalas dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 11.30 pagi Isnin.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Seri Mohamad, 54, dan empat orang anak iaitu Nur Hamizah, 24, Mohd Afiq, 23, Muhammad Luqman, 16, dan Nur Hanis, 5 tahun.
Sementara itu Bernama melaporkan, Allahyarham sering membaca al-Quran walaupun tidak bermaya akibat menghidap diabetes.
Allahyarham juga menganggap dirinya seperti ‘Pelajar ITM’ iaitu ‘ibadat menunggu mati’.
"Dia selalu sakit sejak akhir-akhir ini namun pada saya, kesakitan itu yang buat dia lebih banyak beribadah... ibarat dia tahu yang dia dah nak pergi,” kata Seri Mohamad.
Katanya, arwah juga menyatakan amat ingin berjumpa kawan-kawan lamanya.
"Bila arwah selalu sangat kata nak jumpa kawan-kawannya, saya rasa lain tapi Alhamdulillah, semasa cuti Deepavali, dapat juga arwah balik kampung di Taipingdan sempat jumpa kawan-kawan sekolahnya," katanya.
Antara rakan artis yang hadir menziarahi jenazah ialah Imuda, penyanyi Nash, Bob Lokman, Datuk Jamali Shadat, Datuk DJ Dave dan Datuk Baharuddin Omar.
sumber:
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar